Kementerian Pendidikan akan meneliti beberapa inisiatif yang dapat dilakukan kerajaan sebelum sesi persekolahan tahun depan bermula antaranya bantuan awal RM150 kepada semua murid tanpa mengira tahap sosioekonomi.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata, kementerian amat menekankan aspek pendidikan manusiawi kerana yakin pendidikan dapat diterapkan dengan kasih sayang.
“Pendidikan yang diterap dengan kasih sayang dalam pelajaran mampu memberikan eko sistem pendidikan selamat dan harmoni.
“Kementerian juga memandang serius terhadap isu yang melibatkan nyawa dan keselamatan pelajar terutamanya kes buli dan juga gangguan seksual di sekolah sekali gus menepati garis panduan untuk kesejahteraan ekosistem pendidikan,” katanya ketika ditemui pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat (hari ini) menawarkan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung antaranya gerai jualan, kaunter bayaran saman dan pelbagai lagi.