KPM tempatkan sementara pentadbir dan warden SMKA Tun Datu Mustapha di JPN Sabah

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) serta semua warden SMKA Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.

Langkah itu diambil sehingga siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes Allahyarhamah Zara Qairina selesai sepenuhnya.

Menurut KPM, keputusan ini dibuat selepas PDRM mengumumkan Pasukan Petugas Khas Bukit Aman mengambil alih siasatan tersebut.

“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, teliti dan tuntas,” kata kenyataan itu pada Rabu.

KPM turut menegaskan bahawa kes ini menjadi keutamaan dan berharap siasatan telus dapat dilaksanakan demi keadilan semua pihak.

“Harapan kami adalah siasatan yang telus, adil dan menyeluruh agar keluarga mangsa mendapat pembelaan sewajarnya,” menurut kenyataan sama.

Tindakan penempatan sementara itu juga bagi memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar tanpa mengganggu proses siasatan.

Allahyarhamah Zara Qairina dilaporkan terlibat dalam insiden di sekolah berasrama berkenaan yang mencetuskan perhatian umum, sekali gus mendorong campur tangan PDRM dan KPM bagi memastikan keadilan ditegakkan.

Anda Mungkin Berminat