KPN anjur Sambutan Songkran Peringkat Kebangsaan di Perak pada 11-13 April

PETALING JAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Persatuan Siam Malaysia, bakal menganjurkan Majlis Perayaan Songkran Peringkat Kebangsaan pada 11 hingga 13 April di Dewan Songkran, Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, Perak.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sambutan itu merupakan satu platform penting untuk memperkenalkan adat resam dan budaya masyarakat Siam kepada rakyat Malaysia.

“Perayaan ini seiring dengan matlamat Kerajaan Madani untuk memupuk perpaduan serta meraikan kepelbagaian budaya dan agama di negara kita.

“Ia juga mampu mempereratkan hubungan antara etnik, sekali gus memperkukuhkan keharmonian masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aaron Dagang memaklumkan, program yang bakal berlangsung selama tiga hari itu akan diserikan dengan pelbagai pengisian yang menarik seperti perarakan tradisional Songkran, pameran budaya dan makanan tradisional, pertunjukan kebudayaan (tarian, seni dan muzik), pertandingan permainan tradisional, aktiviti mandi air (water splashing) dan aktiviti sosial dan kesenian bersama komuniti.

Sehubungan dengan itu, beliau mengajak orang ramai khususnya yang berada di kawasan berhampiran untuk bersama-sama turut serta hadir bagi memeriahkan sambutan itu dan sebarang maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh daripada laman sosial rasmi KPN.

Untuk rekod, Majlis Perayaan Songkran adalah perayaan utama dan penuh bermakna dalam kalendar masyarakat Bumiputera Siam di Malaysia, menandakan kedatangan tahun baharu dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

Sambutan itu juga dikatakan amat sarat dengan nilai budaya bagi memperkenalkan tradisi, seni dan budaya etnik minoriti Siam di Malaysia.

Anda Mungkin Berminat