KPN: Mangsa seterika UPNM telah buat laporan

PETALING JAYA: Siasatan telah dimulakan berhubung kes seorang pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh pelajar senior.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan bahawa kertas siasatan dibuka selepas pegawai kadet berusia 20 tahun itu membuat laporan pada kira-kira pukul 8.20 malam, pada Jumaat.

Jelasnya, kejadian dikatakan berlaku pada pukul 11.45 malam 22 Oktober lalu di bilik asrama UPNM setelah penuntut senior yang juga pegawai kadet tahun empat telah meminta mangsa untuk menggosok baju kerja miliknya.

“Secara tiba-tiba, pelajar senior berusia 22 tahun itu telah mengambil seterika dipegang pengadu sebelum menekap di bahagian dada sebelah kanannya sebanyak satu kali,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata, perbuatan pelajar senior tersebut mengakibatkan mangsa terkejut dan menjerit selain menyebabkan kecederaan melecur dan ketika kejadian berlaku, beberapa pelajar senior lain dilaporkan turut berada di dalam bilik berkenaan.

“Rakaman percakapan mangsa telah direkodkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan mangsa juga telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan tahap kecederaannya,” ujarnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menegaskan agar Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap budaya samseng, buli, dan gangsterisme di institusi pendidikan masing-masing.

Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman dilaporkan berkata Angkatan Tentera Malaysia tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kes berkenaan dengan siasatan terperinci sedang dijalankan.

Anda Mungkin Berminat