GOMBAK: Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail hari ini turun padang meninjau penugasan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves.
Ketibaan beliau sekitar pukul 11.30 pagi disambut oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu bersama Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Shazeli Kahar.
Beliau kemudiannya dibawa ke Markas Taktikal (MARTEK) Op Palu 2026 bagi mendengar taklimat operasi.
Taklimat disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Gombak, Noor Ariffin Mohd Nasir selaku Pegawai Pemerintah Op Palu, yang menjelaskan kesiapsiagaan anggota PDRM dalam memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan ribuan pengunjung sepanjang sambutan Thaipusam.
Selepas itu, Mohd Khalid meninjau khemah Thaneer Panthal, salah satu inisiatif khidmat masyarakat PDRM yang menyediakan minuman dan kemudahan kepada orang awam.
Beliau turut mengedarkan beg cenderamata kepada para pengunjung yang hadir menunaikan upacara keagamaan.
KPN kemudian mengadakan sesi ‘walkabout’ di pekarangan kuil, menyantuni petugas serta beramah mesra dengan pengunjung sebelum mengakhiri lawatan dengan sidang media ringkas.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, Datuk Mohamad Suzrin Mohd Rodhi; Timbalan Ketua Polis Selangor, Mohd Zaini Abu Hassan serta wakil media.








