KPT beri kelonggaran pelajar IPT terjejas banjir laksana PdP secara atas talian
Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi memberi kepada semua pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terjejas akibat bah banjir untuk melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.
Menerusi kenyataan media pada Isnin, KPT memberi kelonggaran itu agar kesinambungan pembelajaran para pelajar IPT tidak terganggu.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memantau dengan teliti perkembangan banjir yang melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung sejak beberapa hari lalu berikutan hujan lebat berterusan.
“Situasi banjir kali ini bukan sahaja menjejaskan kawasan bandar dan kediaman, malah turut memberi impak kepada beberapa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang dinaiki air, sekali gus menjejaskan pengoperasian premis serta pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP),” katanya.
Pada masa sama, bilik gerakan banjir di IPT yang terlibat turut diaktifkan bagi memudahkan pelajar, kakitangan dan ibu bapa mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi semasa serta penyaluran bantuan segera, khususnya makanan, tempat perlindungan sementara dan keperluan asas bagi pelajar serta warga IPT.
KPT turut menyeru semua warga IPT yang terkesan agar sentiasa menjaga keselamatan diri, berada di kawasan selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta pasukan keselamatan.
“Seluruh warga Kementerian mendoakan agar semua mangsa banjir di negeri-negeri terlibat diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” ujarnya.








