KPT Perkukuh Pendidikan Tinggi Menerusi Pelan 2026-2035

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memperkukuh asas pendidikan tinggi negara menerusi Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035 yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr. Mohd Nor Azman Hassan berkata, pelan itu menjadi kerangka jangka panjang bagi memastikan sistem pendidikan tinggi kekal inklusif, berkualiti dan berdaya saing.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual hos Syuhaida Ariffin dalam program Selamat Pagi Malaysia, sambil menyifatkan tahun 2025 sebagai tempoh penting buat KPT.

Menurutnya, penganjuran acara berimpak tinggi seperti Festival Idea Putrajaya (FOI) dan ASEAN Education Ministers Roundtable telah meningkatkan keterlihatan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi serantau dan global.

“Setiausaha Agung ASEAN sendiri mencadangkan supaya FOI diangkat sebagai acara tahunan peringkat serantau,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam aspek keterangkuman, beliau berkata KPT terus memperluas akses pendidikan untuk semua lapisan termasuk B40, M40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui penambahbaikan sistem UPUOnline yang kini mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Kebajikan pelajar turut diperkasakan menerusi pendekatan turun padang seperti program Semarak Kampus MADANI, termasuk pelaksanaan inisiatif Dapur MADANI hasil maklum balas langsung mahasiswa.

Mengulas kebolehpasaran graduan, beliau menegaskan tumpuan diberikan kepada penghasilan graduan TVET berkemahiran tinggi dengan sasaran pendapatan RM4,000 ke atas, selari keperluan industri masa depan seperti semikonduktor, AI dan keselamatan siber.

PPTM 2026–2035 dirangka sebagai dokumen hidup yang berpaksikan nilai MADANI, dengan matlamat melahirkan graduan berdaya saing serta berkesedaran terhadap kemampanan dan kesejahteraan masyarakat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat