Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan melindungi mana-mana pelaku yang didapati terlibat dengan kes buli yang dilaporkan berlaku Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya akan memberi kerjasama kepada pihak berwajib bagi menjalankan siasatan secara telus dan profesional.
“KPT juga ingin menyatakan komitmen untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di kampus sentiasa terpelihara,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden di sidang Parlimen, Dewan Rakyat hari ini mengenai langkah KPT bagi mengekang kes buli di IPT.
Zambry menjelaskan, berkait konteks Universiti Awam (UA) sekiranya pelajar terlibat dalam kes buli, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 3 (1) (a) (ii), kaedah-kaedah (Tatatertib Pelajar) yang telah diseragamkan melalui pindaan yang dibuat pada tahun 2024.
“Seseorang pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan buli boleh dikenakan satu atau dua atau lebih hukuman seperti, amaran, khidmat masyarakat mengikut peraturan-peraturan yang dibuat oleh Lembaga yang tidak melebihi 24 jam.
“Pelaku boleh didenda tidak melebihi RM500, dilarang daripada berada di dalam mana-mana bahagian kampus bagi suatu tempoh sebagaimana yang ditentukan oleh pihak berkuasa tatatertib,”
Kata beliau juga, KPT sememangnya tidak akan berkompromi lagi dan kemungkinan pelaku bakal dikenakan hukuman buang atau dilarang tinggal di dalam penempatan siswa.
Malah mereka turut akan digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti bagi suatu tempoh atau dibuang terus daripada IPTA atau IPTS yang terlibat.
Di samping itu, KPT turut memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di kampus sentiasa terpelihara dengan beberapa kaedah menyeluruh seperti penerapan ‘Budaya Zero Tolerance’ terhadap buli.
“Beberapa langkah berikut adalah, mekanisme sistem pelaporan kes buli, penambahbaikan sistem keselamatan kampus melalui pemasangan CCTV yang lebih luas.
“Pelaksanaan program kesedaran dan pendidikan buli, penekanan terhadap pembinaan sahsiah, etika dan latihan kepimpinan bagi menyokong kemenjadian mahasiswa yang lebih bersifat positif.
“Standard Operating Procedure (SOP) dan pembangunan garis panduan pengurusan salah laku,” tambahnya.
Baca juga: