PETALING JAYA: Tiada pelajar akan terpinggir hanya kerana kekangan kewangan.
Itulah jaminan tegas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan akses pendidikan tinggi kekal inklusif dan menyeluruh.
Dalam satu panggilan video bersama dua pelajar yang hampir menolak tawaran pengajian kerana kesempitan hidup, Zambry memberi jaminan bahawa bantuan penuh akan disalurkan melalui pelbagai skim di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Jangan bimbang tentang soal kewangan, jangan khuatir soal yuran mahupun perbelanjaan persediaan.
“Insya-Allah kita akan bantu dan permudahkan,” katanya.
Pelajar yang dimaksudkan ialah Ikram, ditawarkan tempat di UiTM Arau, Perlis dan sepupunya Fairuz, yang menerima tawaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM).
Kedua-duanya hampir menolak tawaran kerana tidak mampu menampung kos persediaan.
Menurut Zambry, mereka kini dijamin akan menerima sokongan melalui skim SULUNG dan bantuan awal pengajian daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS).
Beliau turut tersentuh apabila mengetahui kedua-dua pelajar sanggup bekerja sebagai pembantu kedai burger dengan pendapatan harian RM20 demi menampung keperluan masuk universiti, meskipun mereka memperoleh PNGK 3.75 dan 3.92 di peringkat matrikulasi.
Zambry menyeru semua pelajar yang menerima tawaran ke IPTA agar tidak menolak peluang hanya kerana kekangan kewangan.
Beliau turut mengarahkan semua Naib Canselor untuk memudahcarakan proses pendaftaran.
“Saya menyeru semua pelajar yang mendapat tempat di IPTA, jika ada sebarang masalah atau kekangan, hubungi saya atau KPT.
“Daftar dulu dan semua Naib Canselor telah diminta untuk memudahcarakan urusan pendaftaran pelajar,” jelasnya.
Terdahulu, kisah Ikram mula tular selepas seorang jiran, Wan Nurfarahin Wan Roslee, berkongsi tentang kesulitan yang dihadapi remaja itu di media sosial.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian segera daripada Zambry, yang mengarahkan pegawainya serta UiTM Machang untuk turun padang dan memberi bantuan.








