PAPAR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneliti keperluan untuk menambah jumlah Kolej Komuniti khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, selain mempertimbangkan penyediaan fasiliti tambahan seperti asrama bagi kemudahan pelajar.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu sedang diperhalusi susulan lawatan kerjanya ke Kolej Komuniti Beaufort pada Februari lalu yang mendedahkan keperluan mendesak terhadap kemudahan sedemikian.
“Namun dalam konteks di Sabah dan Sarawak, keutamaan ketika ini adalah untuk memperkemas fasiliti sedia ada terlebih dahulu sebelum sebarang penambahan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolej Komuniti Papar.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Mohd Zahari Ismail.
Mengulas penubuhan Kolej Komuniti Papar, Zambry berkata kolej baharu itu menawarkan kursus berteraskan teknologi maklumat yang turut dimantapkan dengan komponen teknologi kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan perubahan keperluan industri masa kini.
“Menurut laporan World Economic Forum (WEF), menjelang tahun 2025, AI dan automasi dijangka menggantikan kira-kira 85 juta pekerjaan di seluruh dunia. Justeru, kursus seumpama ini penting dalam melahirkan tenaga kerja yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi,” katanya.
Sehingga tahun lalu, KPT memiliki sebanyak 106 Kolej Komuniti di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan pelajar seramai 18,435 orang.
Baca juga: