PETALING JAYA: Sebuah laporan penting bertajuk “Menangani Kejatuhan Kesuburan di Malaysia” bakal dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menurut kenyataan media pada Selasa, laporan tersebut merupakan hasil perbincangan, forum serta dapatan penyelidikan yang dihimpunkan daripada Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2025 (PERKKS 25) yang berlangsung dari 19 hingga 21 November 2025 di Petaling Jaya, Selangor.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, laporan itu akan menjadi panduan penting kepada KPWKM dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dalam merangka dasar, intervensi serta pelan tindakan komprehensif bagi menangani cabaran demografi negara secara holistik berasaskan data dan berpaksikan keluarga.
“Kajian ini juga merupakan projek awal hasil kerjasama strategik antara LPPKN dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pada 30 Oktober 2025.
“Penganjuran ini merupakan kolaborasi strategik antara LPPKN, Universiti Malaya (UM), United Nation Populations Fund (UNFPA) Malaysia dan MERCK Malaysia, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani untuk membina masyarakat berasaskan data berpusatkan keluarga dan berpaksikan kesejahteraan insan,” katanya.
Nancy berkata, pembangunan dasar kependudukan negara tidak boleh lagi bersifat konvensional atau statik sebaliknya mesti berteraskan data dan daya tahan digital agar teknologi dapat dimanfaatkan secara inklusif merentas generasi.
Tambah beliau, tindakan itu mencerminkan komitmen KPWKM untuk memastikan isu demografi dan kekeluargaan ditangani secara menyeluruh, progresif dan berasaskan bukti.
Untuk info, persidangan selama tiga hari itu menghimpunkan lebih 300 peserta termasuk 150 pembentang kertas kerja, penyelidik, penggubal dasar, wakil universiti, agensi kerajaan, sektor swasta serta badan antarabangsa.
Enam bidang utama menjadi tumpuan perbincangan, meliputi isu kesuburan, penuaan, gender, dasar keluarga, alam sekitar serta kaedah analisis dan penyebaran data kependudukan.








