HO CHI MINH: Kesan konflik melibatkan Iran mula dirasai hingga ke Asia Tenggara apabila kenaikan harga bahan api menekan kehidupan pekerja gig di Vietnam.
Memetik Al-Jazeera pada Isnin, seorang pemandu e-hailing dikenali sebagai Nguyen mengakui pendapatannya semakin terhimpit selepas terpaksa membelanjakan hampir separuh hasil harian untuk petrol.
“Saya memandu kira-kira tujuh hingga lapan jam dan memperoleh sekitar 240,000 dong (RM43), tetapi terpaksa membayar 120,000 dong (RM21) untuk petrol,” katanya.
Nguyen yang menggunakan aplikasi tempatan Be berkata, jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung kos hidup di bandar besar seperti Ho Chi Minh.
Situasi itu berpunca daripada gangguan bekalan minyak mentah susulan konflik di Timur Tengah, khususnya apabila laluan strategik Selat Hormuz terjejas, sekali gus menjejaskan penghantaran minyak dari Kuwait yang selama ini membekalkan kira-kira 80 peratus keperluan minyak Vietnam.
Akibatnya, harga diesel dilaporkan meningkat lebih dua kali ganda, manakala harga petrol naik hampir 30 peratus, menjadikan kos perjalanan di bandar yang mempunyai lebih tujuh juta motosikal itu semakin tinggi.
“Bila harga petrol terlalu mahal, ramai pemandu tutup aplikasi dan balik rumah. Mereka tidak lagi bekerja,” katanya.
Nguyen turut memaklumkan beliau bercadang menghentikan sementara kerjanya bagi melihat sama ada harga bahan api akan turun atau kerajaan menawarkan bantuan.
Dalam usaha mengurangkan tekanan kepada rakyat, kerajaan Vietnam di bawah pimpinan Perdana Menteri Pham Minh Chinh telah memperkenalkan beberapa langkah kecemasan.
Antaranya termasuk menggantung cukai alam sekitar ke atas diesel, petrol dan bahan api penerbangan sehingga 15 April bagi membantu menstabilkan harga.
Baca juga:








