Krisis Perlis ujian matangkan demokrasi, hormati pemisahan kuasa – Amin Ahmad

KUALA LUMPUR: Krisis politik yang berlaku di Perlis dilihat sebagai satu pengalaman penting yang mampu mematangkan amalan demokrasi di Malaysia, kata Pengerusi PKR Perlis, Amin Ahmad.

Katanya, isu berkaitan pelantikan, pengguguran dan penggantian Menteri Besar atau Ketua Menteri bukanlah perkara baharu dalam landskap politik negara, malah pernah berlaku di hampir semua negeri sebelum ini.

Amin turut menepis dakwaan bahawa Perlis tidak mempunyai Enakmen Anti-Lompat Parti, sambil menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar.

“Selepas Akta Anti-Lompat Parti digubal di Parlimen, Perlis antara negeri terawal yang menyusul menggubal enakmen berkaitan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau menjelaskan bahawa kuasa untuk mengesahkan berlakunya kekosongan kerusi adalah terletak di bawah bidang kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), selaras dengan prinsip pemisahan kuasa antara Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.

“Sekiranya kita menghormati pemisahan kuasa, maka keputusan Speaker perlu dihormati. Cabaran boleh dibuat kemudian melalui proses undang-undang,” katanya.

Mengulas lanjut, Amin mengimbau krisis Perak pada 2009, yang menurutnya menyaksikan kuasa Speaker dinafikan sehingga beliau diheret keluar dari Dewan secara tidak berperlembagaan.

“Bagi mereka yang memahami proses, kita faham mengapa perkara itu berlaku,” katanya.

Amin turut menegaskan bahawa isu lompat parti merupakan perkara yang amat rumit ketika penggubalan Akta Anti-Lompat Parti, meskipun ia ketika itu menjadi isu besar yang mendapat perhatian ramai.

“Banyak hak perlu diteliti, termasuk hak rakyat, parti politik, individu wakil rakyat dan juga peranan istana. Kesemua pihak ini tidak bersifat seragam dan mempunyai pandangan berbeza,” katanya.

Beliau turut menyentuh sikap parti politik dalam menangani isu lompat parti, sambil memberi contoh Bersatu yang menurutnya merupakan antara parti paling lewat meminda Perlembagaan parti bagi menangani kelemahan dalam Akta Anti-Lompat Parti, walaupun pernah menerima kemasukan ramai wakil rakyat dari parti lain.

Walaupun terdapat pandangan bahawa Akta tersebut mempunyai lompong, Amin berpandangan masih wujud ruang untuk menambah baik perundangan itu agar lebih kemas dan menyeluruh dengan mengambil kira semua hak yang terlibat.

“Jika tidak, kita mungkin akan terus mengulangi kitaran masalah yang sama,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat