Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Rakyat Malaysia tidak perlukan kenyataan berbaur hasutan, tidak tepat serta provokatif, mereka hanya mahukan perbahasan yang matang bagi mendepani krisis tenaga global yang semakin kompleks.
Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Mahathir Rais menegaskan, semua pihak sepatutnya membantu negara menjadi lebih berdaya tahan bukan menambah kekeliruan.
“Rakyat tidak perlukan kenyataan berbaur hasutan, tidak tepat atau provokatif. Rakyat mahukan perbahasan yang matang.
“Ketika dunia berdepan krisis tenaga yang semakin kompleks, semua pihak sepatutnya membantu negara untuk menjadi lebih berdaya tahan, bukan menambah kekeliruan.
“Kerajaan pula mesti terus bekerja keras memastikan kestabilan ekonomi terpelihara.
“Pembangkang seharusnya tampil dengan cadangan yang bernas, bukan bermain politik sepanjang masa,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi menempelak kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Tun Faisal Ismail Aziz pada baru-baru ini.
Terdahulu, Tun Faisal mendakwa bahawa Malaysia menjadi satu-satunya negara yang mengalami kenaikan bahan tenaga tau minyak fosil secara mendadak dalam tempoh seminggu serta memuji lambung akan negara Thailand yang dikatakan berjaya menurunkan harga minyak diesel walaupun harga global tidak stabil.

Dalam nada tegas, Mahathir berkata ahli politik seperti Tun Faisal seharusnya menghentikan permainkan isu beban itu kerana realitinya rakyat yang memikul kos tersebut.
“Tun Faisal cuba memberi gambaran bahawa negara jiran lebih stabil dan, oleh itu, Malaysia telah gagal. Hujah seperti ini mungkin sedap didengar, tetapi ia bukan hujah yang jujur.
“Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina masing-masing mempunyai pendekatan berbeza dalam mengurus harga bahan api.
Ada yang bergantung pada kawalan yang lebih ketat. Ada yang menyerap kos melalui beban fiskal yang besar. Ada juga yang melaras secara berperingkat,” ujarnya.
Katanya, dengan mengambil angka mingguan di dalam carta harga minyak pam seantero dunia, Tun Faisal secara terus membuat kesimpulan besar tentang kejayaan atau kegagalan sebuah kerajaan tanpa melaksanakan analisa yang betul.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar seluruh pihak khususnya Tun Faisal untuk mengkritik dengan cara yang betul dan secara jelas menyatakan bahawa kenaikan diesel memberi impak tekanan besar kepada rakyat termasuk kepada peniaga, sektor pengangkutan dan rantaian bekalan.
“Ini bukan bermaksud kerajaan tidak boleh dikritik.
“Sebaliknya, kerajaan memang wajar ditekan untuk menjelaskan kepada rakyat sampai bila tekanan ini boleh ditanggung, apakah langkah segera untuk mengurangkan kesan kepada kos hidup, dan apakah rancangan jangka panjang untuk mengurangkan pergantungan negara kepada diesel import.
Dalam isu seperti ini, rakyat berhak menuntut jawapan yang jelas dan dasar yang lebih baik.
“Tetapi kritik yang baik mesti datang dengan kejujuran.
“Bukan dengan memilih angka yang paling menguntungkan politik sendiri. Bukan juga dengan membiarkan rakyat marah tanpa dibekalkan gambaran yang lengkap,” ujarnya.
Baca juga:








