Kritik saya tidak mengapa tapi murid bukan tikus makmal – Fadhlina

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan sebarang reformasi pendidikan negara perlu dilaksanakan secara berperingkat dan berhati-hati, bukannya terburu-buru hanya untuk memenuhi telahan sesetengah pihak.

Beliau berkata ada yang mempersoalkan mengapa selepas lebih dua tahun menerajui Kementerian Pendidikan (KPM), masih tiada perubahan drastik berlaku dalam sektor pendidikan.

“Fokus utama KPM ialah memastikan dasar sedia ada berjalan lancar dan memperkukuh gerak kerja yang telah dirangka, terutama selepas negara berdepan isu ‘learning loss’ pasca pandemik COVID-19.

“Kritik saya tidak mengapa, tetapi pengorbanan serta sumbangan besar warga kerja KPM jangan pula dinafikan,” katanya dalam satu kenyataan,pada Jumaat.

Fadhlina berkata, pendidikan adalah proses jangka panjang yang memerlukan masa antara 10 hingga 15 tahun untuk menuai hasil, bukan seperti sektor lain yang boleh diukur dalam tempoh singkat.

“Anak-anak bukan tikus makmal. Perubahan rencana jika dilakukan secara tergesa-gesa hanya akan merosakkan keseluruhan ekosistem pendidikan negara,” katanya lagi.

Menurutnya, KPM tidak mahu membuat keputusan bersifat populis kerana apa yang lebih penting ialah manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang.

“Saya tidak mahu terburu-buru membuat perubahan yang akhirnya menganggu dasar dan hala tuju pendidikan negara,” Katanya.

Fadhlina turut menegaskan, tumpuan kini diberikan kepada pelaksanaan Reformasi Pendidikan yang meliputi enam teras utama termasuk intervensi kurikulum, peluasan prasekolah, pemerkasaan STEM dan TVET, pendidikan digital serta usaha memperkukuh bahasa Melayu dan Inggeris.

“Perubahan dalam pendidikan mesti berlandaskan perancangan kukuh, kerana yang kita perjuangkan ialah masa depan anak-anak dan negara,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat