Kritikan PAS Cerminan Ketakutan Terhadap Sokongan Rakyat Kepada Kerajaan

PETALING JAYA: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman membidas kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang menyindir pengumuman Perdana Menteri sebagai tidak sepadan dengan ‘teaser’ yang diwar-warkan.

Beliau menyifatkan kritikan itu sebagai tanda pembangkang semakin terdesak apabila usaha Kerajaan MADANI mula meraih kepercayaan rakyat secara berterusan.

“Bila kerajaan umum bantuan tunai RM100, harga petrol turun kepada RM1.99 seliter dan tiada kenaikan tol, pembangkang gelabah.

“Mereka (pembangkang) sangka rakyat akan marah tapi sebaliknya rakyat bersyukur. Itulah yang sebenarnya menakutkan mereka,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Syed berkata, pengumuman Perdana Menteri bukan gimik politik semata-mata tetapi manifestasi penyusunan ekonomi yang bermula sejak hari pertama pentadbiran MADANI.

“Pembangkang tak habis-habis persoal, kononnya tak ada impak jangka panjang.

“Sedangkan ini bukti kerajaan ambil peduli bukan janji kosong macam mereka masa kempen pilihan raya, konon nak turunkan harga minyak tapi gagal tunai,” ujarnya lagi.

Beliau turut membidas tindakan pembangkang yang mengajak rakyat turun ke jalanan kononnya untuk menukar kerajaan, sedangkan ruang demokrasi di Parlimen sentiasa terbuka.

“Kalau betul nak tukar Perdana Menteri, ikut saluran demokrasi.

“Jangan heret rakyat ke jalanan dengan naratif agama dan kebencian,” katanya.

Dalam nada tegas, Syed Syah menyifatkan kenyataan Ahmad Fadhli sebagai gambaran keengganan pembangkang untuk menjadi semak dan imbang secara matang, sebaliknya memilih untuk menolak setiap usaha kerajaan.

“Mereka (pembangkang) tak mahu rakyat rasa lega. Mereka takut sokongan kepada kerajaan bertambah.

“Sebab itu bila kerajaan bantu rakyat, mereka paling kuat menjerit,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat