KSN Beri Ingatan, Penjawat Awam Dilarang Sertai Aktiviti Politik

PUTRAJAYA: Penjawat awam adalah diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk aktiviti politik termasuk menjalankan kempen, memegang jawatan parti atau memakai lambang politik, demi menjaga imej dan profesionalisme perkhidmatan awam.

Menurut satu surat bertarikh 23 Julai 2025 yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, larangan itu selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], yang menetapkan penjawat awam perlu mengekalkan sikap berkecuali dan tidak berpihak dalam urusan politik.

“Perkhidmatan awam sepatutnya bersifat profesional, adil dan tidak berpihak selaras dengan prinsip ‘neutrality’ dan ‘impartiality’ untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan perkhidmatan awam sebagai tulang belakang pentadbiran negara,” katanya dalam satu surat kepada semua ketua-ketua perkhidmatan awam.

Surat itu memaklumkan bahawa penglibatan politik hanya dibenarkan dalam keadaan tertentu dengan kebenaran rasmi.

Tambahnya, sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti amaran, denda, penurunan gaji, penurunan pangkat atau dibuang kerja.

KSN turut menekankan keperluan penjawat awam mematuhi Surat Aku Janji serta larangan membuat sebarang kenyataan awam berhubung dasar kerajaan atau hal ehwal jabatan tanpa kebenaran bertulis daripada Menteri.

“Segala kerjasama dan komitmen berterusan amat dihargai dalam menjaga integriti, imej dan kredibiliti Perkhidmatan Awam Malaysia,” katanya.

Anda Mungkin Berminat