Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Kerajaan menetapkan sasaran 500 projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) untuk tahun 2025, simbol komitmen sektor awam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyatakan bahawa ia adalah langkah mempercepat transformasi sektor awam dan mendukung pembangunan negara.
“Tahun ini, sebanyak 200 projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) telah dan sedang dilaksanakan.
“Sasaran 500 projek untuk 2025 adalah usaha mencipta perubahan nyata yang memberi kesan positif kepada rakyat,” katanya dalam ucapan penutup Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Ahad.
Untuk memastikan pelaksanaan itu berjaya, kerajaan memperuntukkan RM25 juta sebagai komitmen kepada usaha transformasi.
Dana itu dilihat sebagai peluang strategik untuk menjayakan projek-projek yang akan membawa perubahan ketara dalam perkhidmatan awam.
Shamsul Azri turut menekankan pentingnya kerjasama antara sektor awam dan swasta.
“Kita perlu merebut peluang dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan fintech dengan memanfaatkan kepakaran penjawat awam serta kepimpinan Perdana Menteri,” ujarnya.
Selama dua hari konvensyen berlangsung, sesi forum dan plenari membincangkan pelbagai aspek reformasi.
Hasil wacana itu akan didokumentasikan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) selaku urus setia sebagai panduan untuk semua anggota perkhidmatan.
“Deklarasi yang ditandatangani semalam hanyalah permulaan. Tahun 2025 diharapkan menjadi tahun perubahan besar-besaran, dengan komitmen lebih tinggi untuk merealisasikan aspirasi reformasi sebagaimana yang dicita-citakan oleh Perdana Menteri,” tambahnya.
Baca juga:








