Oleh: Hanim Nadia
PUTRAJAYA: Bagi menerap semangat patriotisme dalam kalangan penjawat awam, semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dicadang memainkan lagu Negaraku seminggu sekali.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, beliau sudah meminta Kementerian Perpaduan Negara memperincikan cadangan itu supaya satu pekeliling dapat dikeluarkan kepada penjawat awam.
“Penerapan patriotisme dalam kalangan penjawat awam boleh dilakukan dengan melaksanakan program dan aktiviti yang berbentuk patriotik, antaranya seperti memainkan lagu Negaraku seminggu sekali di semua kementerian, jabatan dan agensi.
“Lagi kerap lagi bagus dan saya minta Kementerian Perpaduan Negara dapat perincikan lagi perkara ini supaya satu pekeliling mengenai Pembudayaan Amalan Patriotisme penjawat awam dapat dikeluarkan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN 2024 di Putrajaya pada Selasa.