JERANTUT: Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar berkesempatan melawat ke kampung angkatnya iaitu Kampung Batu Balak di sini bagi mengadakan perbincangan mengenai perkembangan projek Kampung Angkat MADANI.
Dalam lawatannya itu, beliau melahirkan kebimbangan mengenai perjalanan projek Kampung Angkat MADANI yang terletak dalam daerah Jerantut Pahang.
Perbincangan itu diadakan bersama wakil daripada Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Pejabat Daerah Jerantut.
Beliau agak kecewa dengan beberapa perkembangan projek melibatkan naik taraf antaranya yang melibatkan jalan raya, telaga tiub dan masjid.
“Perkembangan projek tidak memberansangkan dan agak perlahan serta mempunyai isu-isu yang perlu diselesaikan segera.
“Saya mahu pihak-pihak yang terlibat dengan pelaksanaan projek Kampung Angkat MADANI ini dapat menyelesaikan dan mempercepat pelaksanaan bagi memastikan manfaat dirasai oleh rakyat setempat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar projek Kampung Angkat MADANI di seluruh negara yang berjumlah 43 buah kampung dapat dilaksanakan.
“Saya harap ia dapat dilaksanakan dengan sempurna dan memberi impak terus kepada lebih 80,000 penduduk selaras dengan hasrat Perdana Menteri serta teras Malaysia MADANI,” katanya.
Sebelum ini, pada Jun lalu sebanyak 43 kampung di seluruh negara terpilih sebagai Kampung Angkat Madani membabitkan peruntukan RM100 juta.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata program kampung angkat merupakan antara kaedah bagi memudahcara dan mempercepat pelaksanaan projek kecil di kampung.
Baca lagi :