Oleh: Shafira Aziz
PUTRAJAYA: Setiap penjawat awam perlu menghormati semua pihak dengan menjaga lisan dan perbuatan daripada mengguris mana-mana individu atau bangsa lain.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata demikian bagi meluahkan rasa tergurisnya terhadap insiden seorang guru menghina Orang Asli selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini.
“Namun begitu, saya amat terguris dengan perlakuan seorang guru di sebuah sekolah yang pada baru-baru ini dilaporkan membuat komen menghina Orang Asli di media sosial susulan keputusan Pilihanraya Kecil (PRK) Nenggiri.
“Bagi saya, ia tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang penjawat awam sekiranya kita benar-benar menghayati nilai hormat dalam prinsip MADANI. Dalam erti kata lain, perkara paling asas ialah pembentukan nilai dalam diri kita – penjawat awam sendiri,” katanya ketika berucap dalam Majlis Aspirasi Kepimpinan Setiausaha Negara 2024 pada Selasa.

Terdahulu, seorang guru yang mengajar di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Negeri Sembilan didakwa mengeluarkan komen yang kurang menyenangkan kepada penduduk orang Asli.
Guru itu dikatakan merendahkan penduduk itu kerana parti yang disokongnya kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.
Menerusi satu tangkapan layar yang tular sebelum ini, ia memaparkan komen seorang wanita di media sosial menyatakan penyokong Parti Tindakan demokratik (DAP) dan UMNO hanya terdiri daripada taraf Orang Asli.
Dalam satu tangkap layar tular di Facebook, guru yang dikenali sebagai Asiah meninggalkan komen pada sebuah video politik dengan menulis “taraf-taraf orang asli je lah penyokong BN UMDap ni”.
Beliau menegaskan ia tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang penjawat awam sekiranya mereka benar-benar menghayati nilai hormat dalam prinsip Madani.
“Perkara paling asas ialah pembentukan nilai dalam diri kita sebagai penjawat awam sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, cikgu berkenaan telah pun memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Dalam pada itu, Shamsul Azri menggariskan lima strategi utama termasuk meningkatkan penghayatan Malaysia Madani melalui program latihan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), termasuk Program Latihan Khidmat Negara 3.0 bagi reformasi penjawat awam.