KSN Terima Darjah Kebesaran SPCM Kurniaan Sultan Perak

PETALING JAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas penganugerahan Darjah Dato’ Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah.

Penganugerahan tersebut berlangsung sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Nazrin bagi tahun 2025, sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan beliau dalam perkhidmatan awam negara.

“Patik (Shamsul Azri) dengan penuh rendah diri menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran dan penghargaan atas kurniaan yang amat besar maknanya ini, bukan sahaja bagi patik dan pacal pondok patik tetapi seluruh perkhidmatan awam amnya.

“Sesungguhnya penganugerahan ini menjadi inspirasi serta dorongan untuk patik terus berkhidmat dengan penuh taat setia, dedikasi dan keikhlasan demi agama, bangsa dan negara Malaysia yang dicintai ini.

Daulat Tuanku,” kata Shamsul Azri dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Penganugerahan SPCM merupakan antara darjah kebesaran tertinggi negeri Perak yang membawa gelaran “Dato’ Seri” dan lazimnya dikurniakan kepada individu yang menunjukkan kepimpinan cemerlang serta sumbangan besar kepada pembangunan negara.

Anda Mungkin Berminat