PETALING JAYA: Perkhidmatan tren antarabangsa MySawasdee 1004 dan 1005 yang dijadualkan beroperasi pada 28 November dan 1 Disember ini terpaksa dibatalkan berikutan penutupan landasan kereta api di beberapa kawasan antara Padang Besar–Hat Yai akibat banjir besar yang melanda wilayah berkenaan.
Dalam kenyataan rasmi, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian keselamatan dan pengesahan daripada pihak berkuasa Thailand dengan keselamatan penumpang menjadi keutamaan.
Menurut KTMB, sebanyak 840 tiket telah ditawarkan bagi kedua-dua perjalanan tersebut, namun sehingga kini 652 penumpang masih belum membuat pembatalan.
Bagi penumpang yang membeli tiket secara dalam talian, pembatalan boleh dilakukan melalui aplikasi KITS dengan memilih menu ‘MyTicket → Upcoming Ticket → Refund’.
Bayaran akan dipulangkan sepenuhnya ke dalam KTM Wallet.
Setakat ini, seramai 188 penumpang telah membuat pembatalan awal dan layak menerima pemulangan tambang penuh mengikut ketetapan semasa.
KTMB turut memaklumkan bahawa jadual perjalanan MySawasdee seterusnya akan diumumkan dari semasa ke semasa bergantung kepada perkembangan banjir di Hat Yai.
“KTMB memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran penumpang sepanjang situasi ini,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-97791200 untuk maklumat tambahan.








