KTMB tambah 2,520 tiket ETS laluan Sentral-Butterworth

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Akibat lambakan pengguna pengangkutan awam untuk pulang ke kampung halaman sempena sambutan Tahun Baru Cina dan cuti sekolah, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah 2,520 tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) bagi laluan Kuala Lumpur Sentral-Butterworth.

Menurut kenyataan KTMB, dua lagi perkhidmatan ETS tambahan akan disediakan bagi laluan tersebut dan tiket akan mula dijual pada 29 Januari 2025 (semalam) bermula pukul 10.00 pagi. 

Menurutnya, tren tersebut akan beroperasi selama empat hari dengan menawarkan sebanyak 630 tempat duduk setiap hari termasuk pilihan tempat duduk kelas perniagaan.

“Secara keseluruhan, sebanyak 2,520 tempat duduk disediakan bagi tempoh operasi ini untuk memenuhi keperluan pengguna.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha KTMB untuk memenuhi permintaan tinggi apabila tiket perkhidmatan tren ETS biasa habis dijual,” kata pihak KTMB. 

KTMB menasihati para pengguna untuk mendapatkan tiket melalui pembelian tanpa tunai melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), mesin kios atau di laman sesawang KTMB, https://www.ktmb.com.my. 

“Ini adalah untuk pengguna yang ingin membuat pembelian tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas,” tambah kenyataan itu.

Menerusi tinjauan yang dibuat oleh Malaysia Bangkit di Terminal 17 Shah Alam, rata-rata masyarakat dilaporkan masih tidak melepaskan peluang ke kampung halaman walaupun dalam keadaan saat-saat genting, pada ambang Tahun Baru Cina.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat