KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat sejarah baharu apabila Kuala Lumpur buat julung kalinya disenaraikan di kedudukan ke-18 dalam Global Startup Ecosystem Report (GSER) 2025 oleh Startup Genome, sekali gus meletakkannya dalam kelompok 20 Ekosistem Syarikat Pemula Membangun Terbaik di peringkat global.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, pengiktirafan ini bukan sahaja membuktikan kemajuan Kuala Lumpur di mata dunia, malah mencerminkan kejayaan sebenar pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan inovasi, keusahawanan dan teknologi sebagai pemacu kepada ekonomi yang bernilai dan inklusif.

“Lonjakan Kuala Lumpur ke dalam senarai 20 teratas ini merupakan satu pencapaian besar, berbanding kedudukannya antara tempat ke-21 hingga ke-30 dalam tempoh 2022 hingga 2024. Ia memperlihatkan kemajuan berterusan hasil penyelarasan dasar dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.
MOSTI turut menjelaskan bahawa kejayaan ini adalah hasil pelaksanaan agenda inovasi negara yang meliputi program strategik pembangunan ekosistem syarikat pemula dan mobilisasi modal yang kini mula menunjukkan impak yang ketara.
GSER, yang diiktiraf sebagai laporan analisis paling komprehensif mengenai ekosistem syarikat pemula di dunia, telah menilai lebih 300 bandar dari lebih 100 negara. Laporan tahun ini menonjolkan pencapaian Kuala Lumpur dalam aspek prestasi keseluruhan, pembiayaan, pembangunan bakat, serta akses pasaran.
Startup Genome turut melaporkan bahawa pembiayaan peringkat awal di Kuala Lumpur telah mencecah RM1.5 bilion (USD368 juta) dalam tempoh dua tahun setengah yang lalu—peningkatan lebih 40 peratus berbanding laporan sebelumnya. Ini menunjukkan tahap keyakinan pelabur yang semakin kukuh serta pertumbuhan ekosistem yang semakin pesat.
MOSTI menegaskan bahawa peningkatan kedudukan ini dipacu oleh kematangan ekosistem inovasi negara, yang berpunca daripada dasar jangka panjang berlandaskan visi Ekonomi MADANI. Antara pemangkin utama ialah Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) yang dilancarkan pada 2021 dan Pelan Tindakan KL20 yang diperkenalkan pada April 2024.
Baca juga: