Kualiti Pendidikan Penentu Kehebatan Negara – PM

PETALING JAYA: Kehebatan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi semata-mata tetapi turut ditentukan oleh mutu pendidikan dan sistem kesihatan yang unggul serta inklusif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa, beliau menyatakan bahawa negara yang benar-benar hebat ialah negara yang berilmu, berperikemanusiaan dan penuh ihsan bagi memastikan setiap rakyat tanpa mengira latar belakang, tidak tersisih daripada peluang mendapatkan pendidikan dan rawatan kesihatan yang berkualiti.

“Atas asas itu, kerajaan memberi tumpuan besar kepada dua teras utama dalam belanjawan negara yakni pendidikan dan kesihatan sebagai landasan utama agenda perubahan dan pembangunan Malaysia,” katanya.

Anwar turut menyentuh peranan penting kolej dan Universiti Institut Jantung Negara (IJN) yang menurutnya melambangkan sinergi terbaik antara kepakaran pendidikan dan perubatan negara.

“Malah ia bakal melahirkan generasi baharu profesional kesihatan yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu tetapi juga tinggi nilai empati dan ihsan dalam khidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat