PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif untuk mengoptimumkan penggunaan kuarters guru yang tidak berpenghuni.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antara langkah tersebut termasuk menukar fungsi kuarters yang tidak berpenghuni untuk kegunaan lain, membuka sewaan kepada agensi kerajaan serta pihak awam dan swasta dan melupuskan kuarters yang tidak lagi selamat diduduki.
“Sebagai contoh, penukaran fungsi enam unit kuarters guru di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Kuala Nerus, Terengganu, yang kini dijadikan Bangunan Tambahan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Nerus sejak Jun 2024.
“Selain itu, sebanyak 40 unit Kuarters Institusi Pendidikan Mengkuang, Pulau Pinang, telah dimanfaatkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pulau Pinang untuk penempatan anggotanya.
“Bagi kuarters yang tidak lagi ekonomik untuk dibaiki dan tidak selamat, KPM telah mengambil keputusan untuk melupuskan kuarters tersebut dengan syor roboh, selaras dengan peruntukan tahun semasa,” katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari mengenai perancangan Kementerian untuk menangani isu kuarters guru yang terbengkalai di seluruh negara.
Tambahnya, langkah-langkah ini turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 November 2024, bagi memastikan pengurusan dan penyelesaian isu kuarters guru yang tidak berpenghuni dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.
Dalam masa yang sama, katanya, KPM juga sedang mengadakan kerjasama strategik bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengoptimumkan kuarters guru tidak berpenghuni sebagai penempatan kakitangan dan anggota agensi-agensi di bawah KDN seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan lain-lain agensi di bawah KDN.
“Namun, kerjasama ini masih di peringkat awal memandangkan kedua-dua Kementerian perlu memperhalusi keperluan kuarters guru tidak berpenghuni yang boleh dioptimumkan sebagai penempatan kakitangan dan anggota agensi di bawah KDN,” tambahnya.
Baca juga: