SHAH ALAM: Dalam pertemuan bersama pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor petang Jumaat, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dengan mesej tegas dan penuh prinsip.
Beliau berkata, kuasa politik mesti dijaga dengan amanah.
“Saya melihat semangat dan kekuatan akar umbi parti terus utuh.
“Namun kita tidak boleh alpa kerana kuasa, jika tidak dijaga, mudah menjadi kilauan yang memukau dan merabunkan,” katanya.
Pertemuan yang berlangsung di Shah Alam itu turut menjadi medan Anwar menjelaskan beberapa isu semasa termasuk pelantikan Ketua Hakim Negara yang sebelum ini diganggu dengan tuduhan dan fitnah.
“Alhamdulillah, keputusan Majlis Raja-Raja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong telah menjawab segala cercaan dan tohmahan tersebut,” katanya.
Anwar berkata, prinsip ketelusan dan semak imbang mesti dipertahankan, sambil menolak idea bahawa mahkamah bebas sepenuhnya tanpa pertanggungjawaban.
“Mahkamah mesti bebas, tetapi bukan mutlak tanpa pertanggungjawaban.
“Di negara demokrasi besar seperti Perancis, Jerman dan Australia, eksekutif tetap punyai ruang menyuarakan pandangan.
“Yang penting, pelantikan dibuat berdasarkan kelayakan dan integriti, bukan sentimen atau rekaan musuh politik,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa penjelasan tidak boleh dibuat secara terbuka sebelum ini kerana menghormati proses dan kebijaksanaan Majlis Raja-Raja serta Yang di-Pertuan Agong.
“Saya sentiasa terbuka untuk memberi penjelasan namun dalam hal ini, saya tidak boleh menyatakannya secara terbuka sebelum ini kerana perlu menghormati proses serta kebijaksanaan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.
Anwar turur menyeru agar anggota parti tidak terperangkap dalam naratif lawan yang cuba mencipta persepsi krisis atau konspirasi.
Pada masa yang sama, beliau juga berkongsi pencapaian kerajaan termasuk kenaikan gaji penjawat awam, gaji minimum GLC dan bantuan merentas kaum.
“Kita tidak sempurna, tetapi banyak yang telah kita laksanakan antaranya kenaikan gaji penjawat awam, gaji minimum GLC, bantuan merentas kaum dan pelbagai lagi.
“Jentera parti perlu ke hadapan menjelaskan dasar-dasar ini kerana apabila kita berdiam, fitnah akan tersebar,” katanya.
Mengulas situasi parti selepas pemilihan, Anwar menyeru agar perpaduan diperkukuh dan semua kekuatan dirangkul.
“Yang kalah perlu hormat keputusan, manakala yang menang mesti merangkul semua kekuatan.
“Inilah parti yang mewakili suara rakyat pelbagai latar, bukan milik satu kaum atau satu kelompok,” katanya.
Anwar berkata, anggota PKR harus perkukuh perpaduan dan kekuatan untuk berdepan musuh yang punyai dana, pengaruh dan rangkaian luas.
“Tetapi kita punya kekuatan sebenar iaitu rakyat, semangat reformasi dan iltizam memperkasa negara.
“Lawan tetap lawan, dengan hujah, fakta dan keyakinan demi masa depan negara yang lebih adil dan bermaruah,” katanya.








