Oleh: Azizul Azli Ahmad
ULASAN | Dalam binaan masjid, kubah bukannya menjadi rukun dalam sesebuah rekabentuk masjid.
Bila kecoh kutipan dana hingga RM500,000 untuk bina kubah sahaja. Maka izinkan saya beri pandangan sebagai penulis buku Masjid Budaya dan Seni bina.
Sejarah pembinaan kubah bukannya berasal dari zaman kerajaan Islam, ia ada sejak zaman Byzantine dan Early Christian lagi. Gereja geraja awal memang berkubah.
Zaman kegemilangan Islam barulah kubah ini popular, itupun jika kita rujuk Hagia Sophia juga asalnya dari sebuah gereja yang kemudiannya menjadi masjid.
Islam bukannya agama simbol, Islam lebih mulia dan besar dari itu. Maka mengagungkan kubah sebagai syarat wajib sebuah masjid adalah kurang baik.
Jika kita rasakan masjid tanpa kubah tidak lengkap ‘imannya’ apakah masjid masjid di China dan Afrika yang dibina tanpa kubah kurang pahalanya jika solat disana.
Seni bina terbentuk dari hasil faktor iklim dan budaya setempat. Masjid Kg Laut, Kelantan, Kg Hulu, Melaka dan Masjid Agung Demak telah beri teladan senibina yang baik buat Alam Melayu oleh tukang terdahulu.
Bila kita mula pandai merantau sikit, balik haji, faktor kolonisasi British. Kita mula melihat apa yang ada di Jazirah Arab dan India sebagai rujukan masjid buat kita.
Masjid wajib ada kubah baru tambah keimanan didada.
Reka bentuk kubah sangat tidak ekonomi pada iklim khatulistiwa seperti kita. Tanya mana mana Ajk masjid dan surau berkubah. Waktu hujan mesti ada tempat yang bocor. Air gagal ‘dilarikan’ dengan baik untuk keluar dari bangunan.
Masjid daerah di Batu Gajah yang indah, waktu hujan jawatan kuasa terpaksa sediakan baldi baldi warna warni untuk letakkan di tengah laman sembahyang sebab banyak kebocoran berlaku.
Ustaz ini tidak harus disalahkan, yang harus disalahkan adalah AJK dan pengamal senibina yang taksub sangat dengan bentuk kubah sebagai simbol agama.
Pengamal seni bina harus didik masyarakat tentang keburukan berkubah dalam iklim negara kita hingga tidak ekonomikal
Selama dua tahun tinggal di Bandung mengkaji senibina masjid di Jawa, hampir semua masjid moden di sana tidak dihadirkan dengan kubah tetapi sangat jimat tenaga, mudah selenggara dan jimat kos binaan.
Masjid seharusnya menjadi pusat komuniti masyarakat bukan hanya dibina berdasarkan simbol simbol kubah yang besar dan akhirnya ditutup dari aktiviti masyarakat sebab mahal membuatnya.
Membuat kutipan dana awam hingga setengah juta hanya untuk bina kubah sangatlah tidak manusiawi. Setelah siap nanti, kos menjaga kubah setengah juta ini juga bukan alang alang duit sebenarnya.
Falsafah kubah dahulu untuk mendapatkan ruang legar yang luas, agar saf tidak putus jika dibina. Hari ini dengan teknologi binaan yang hebat, tanpa kubah kita tetap akan dapat ruang solat yang luas malah lebih luas. Hanya jemaah sahaja malas nak datang masjid sekarang.
Teknologi ‘sound’ sistem yang kita ada adalah lebih baik dari eko yang ingin dihasilkan oleh kubah zaman ini.
Jika kita kata kubah ini ikut zaman nabi. Tidak, zaman nabi masjid dibina dengan sangat sederhana untuk aktiviti masyarakat bukan sebagai simbol pemerintahan beragama.
Sudah masanya pengamal seni bina, pendidikan, jawatankuasa masjid masuk satu era baru dalam pemikiran pembinaan masjid.
Masjid zaman ini harus mesra alam, jimat tenaga, tempat perlindungan, pusat bencana banjir, ‘sustainable’, tempat main kanak kanak, pusat pendidikan online, wifi terpantas dan bukannya hanya habiskan duit bina kubah yang mahalnya setengah juta, bocor bila hujan sebelum buka puasa.
***Penulis adalah Pengajar Sejarah Senibina Islam, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, UiTM Seri Iskandar dan pernah menulis buku Masjid Budaya dan Senibina
Baca juga: