Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman pindah ke tapak baru

PETALING JAYA: Kontroversi mengenai lokasi Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur menemui penyelesaian positif apabila pihak pengurusan kuil bersetuju untuk berpindah ke tapak baru yang lebih sesuai.

Persetujuan itu dicapai hasil perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkepentingan lain, sekali gus menunjukkan pendekatan rundingan berhemah dalam menangani isu berkenaan.

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Kuil, Kaarthik Gunaseelan, tapak baru yang dipersetujui masih berada dalam kawasan Jalan Masjid India dan memenuhi keperluan komuniti Hindu yang beribadat di sana.

“Kami berterima kasih kepada menteri, wakil rakyat dan pihak berkuasa yang membantu mencapai resolusi ini.

“Ini adalah penyelesaian terbaik untuk semua pihak,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pagi tadi menegaskan bahawa segala isu berkaitan tanah mesti dikendalikan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Struktur asal Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di Jalan Munshi Abdullah didirikan tanpa kebenaran pemilik tanah, baik dahulu mahupun sekarang.

Setelah sekian lama di bawah pemilikan DBKL, tanah itu dijual kepada syarikat Jakel Group pada 2014, yang kini merancang untuk membina Masjid Madani di lokasi tersebut.

Dalam usaha memastikan semua pihak mendapat penyelesaian yang adil, kerajaan memainkan peranan penting dalam memfasilitasi perbincangan antara jawatankuasa kuil dan pihak berkaitan, sekali gus mencapai persetujuan yang harmoni.

Dengan penyelesaian ini, pembangunan Masjid Madani yang bakal dirasmikan Perdana Menteri pada Khamis ini dapat diteruskan dengan lancar, selaras dengan kepentingan awam dan keperluan masyarakat setempat.

Anda Mungkin Berminat