Kuil Dibina di Hutan Simpan Kapar Tambahan diambil tindakan

KUALA SELANGOR: Kegiatan pencerobohan serta pembinaan struktur tanpa kebenaran di Hutan Simpan Kapar Tambahan, di sini selamat dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dalam ‘Ops Risi’ baru-baru ini.

Operasi bersepadu itu melibatkan tindakan terhadap sebuah kuil yang didakwa dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa. Pelaksanaan operasi dibuat secara profesional selaras dengan peruntukan undang-undang hutan negeri serta mengambil kira sensitiviti agama.

Penolong Pengarah Kanan JPNS, Mohd Shafie Mahamud, berkata pada peringkat awal pihak pengurusan kuil cuba mempertahankan struktur berkenaan dengan mengemukakan beberapa alasan.

Bagaimanapun, katanya, selepas sesi penerangan dan rundingan diadakan, pihak terbabit akur terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan.

Beliau menjelaskan proses memindahkan peralatan serta berhala dilakukan secara cermat, teratur dan selamat tanpa sebarang kerosakan.

“Kita telah berbincang dengan pihak kuil supaya pemilik memindahkan semua barangan terlebih dahulu. Mereka bersetuju dan selepas kawasan dikosongkan, barulah struktur bangunan dirobohkan,” katanya, seperti dipetik Selangorkini pada Rabu.

Menurutnya, pendekatan berhemah itu mencerminkan komitmen JPNS dalam menguatkuasakan undang-undang sambil menghormati kepercayaan dan amalan agama masyarakat pelbagai kaum.

Ops Risi turut melibatkan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa lain bagi memastikan operasi berjalan lancar serta mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

JPNS menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memelihara kelestarian hutan, membanteras pencerobohan dan memastikan sebarang pembangunan dilaksanakan secara sah serta terancang demi kepentingan alam sekitar dan generasi akan datang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat