KUALA LUMPUR: Pembinaan sebuah struktur kuil sementara di Lot 205 (PT 200), Jalan Rahmat Off Jalan Ipoh, di sini, yang dilaksanakan tanpa kelulusan diberi notis penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, notis tersebut antaranya dikeluarkan di bawah Akta 267 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, termasuk arahan henti kerja dan tindakan ‘seal’ terhadap struktur sementara berkenaan.
“Tapak tersebut merupakan milik persendirian.
“Hasil semakan lanjut di tapak oleh DBKL mendapati kerja-kerja pembinaan struktur telah dihentikan.
“Perbincangan antara pihak DBKL dan pemilik tanah pada 7 April 2025 mengesahkan bahawa struktur sementara tersebut hanya berfungsi sebagai penempatan tidak kekal untuk dewa-dewa dari kuil kecil yang telah sedia ada di kawasan itu.
“Struktur tersebut juga dibina sebagai langkah sementara susulan kerja-kerja pembangunan semula tapak tersebut yang dijadualkan menjadi sebuah kompleks komersil,” menurut DBKL pada Jumaat.
Terdahulu, kira-kira 200 penduduk setempat termasuk ahli beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak DBKL mengambil tindakan tegas termasuk merobohkan binaan kuil tersebut.
DBKL menambah bahawa struktur sementara tersebut adalah untuk kegunaan peribadi pemilik dan bukan untuk awam.
Katanya, pemilik turut memberi jaminan bahawa struktur sementara tersebut akan dialihkan dan mereka akan mematuhi semua peraturan DBKL.
Dalam masa sama, DBKL telah mengarahkan pemilik untuk mengemukakan permohonan kebenaran merancang secara rasmi untuk pertimbangan.
Baca juga: