PUTRAJAYA: Kuliah MADANI yang berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya, pagi 16 Oktober 2025, menjadi medan penyatuan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama lebih 10,000 jemaah menunaikan solat Subuh berjemaah dan menghadiri Kuliah Subuh MADANI yang disampaikan oleh Al-Habib Umar bin Hafidz, seorang tokoh ulama tersohor dari Yaman.
Dalam kuliah tersebut, Al-Habib Umar membacakan kitab Qomi’ Al-Thugyan ‘ala Manzumah Syu’ab al-Iman, karya agung Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani, ulama besar dari Banten yang menetap dan mengajar di Makkah pada abad ke-19.
Kitab itu menghuraikan 77 cabang iman yang merangkumi tiga dimensi utama iaitu akidah, akhlak dan syariah berdasarkan hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa iman mempunyai lebih 70 cabang dan yang paling tinggi ialah ucapan “La ilaha illallah”, manakala yang paling rendah ialah membuang halangan di jalan.
Kuliah tersebut bukan sahaja memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap prinsip-prinsip iman tetapi juga memperkenalkan kembali khazanah ilmu warisan ulama Nusantara yang sering kali terpinggir dalam arus perdana.
Kehadiran Perdana Menteri dalam majlis itu memperlihatkan komitmen beliau terhadap pengarusperdanaan budaya ilmu dan spiritual dalam pentadbiran negara, selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan nilai adab, ihsan dan keilmuan.
Majlis itu juga menjadi sebahagian daripada tradisi Majlis Ilmu MADANI yang diilhamkan oleh Anwar Ibrahim sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2022.
Majlis seumpama ini telah diperluas ke seluruh negara dan sering menampilkan tokoh ilmuan Islam dari dalam dan luar negara, termasuk Prof Dr Jasser Auda dan Yusuf Islam.