Kumpulan Pertama Jemaah Haji Malaysia Berlepas

PETALING JAYA: Musim haji tahun 1446 Hijrah bermula hari ini dengan keberangkatan 284 jemaah Malaysia dari stesen Alor Setar, Kedah dan Sepang, Selangor menuju ke Arab Saudi.

Penerbangan sulung Malaysia Airlines MH8050 telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4.05 pagi dan dijangka tiba di Madinah pada pukul 7.50 pagi waktu tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memberi jaminan bahawa kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) komited memastikan kebajikan jemaah terpelihara sepanjang perjalanan ibadah mereka.

“Ia bukanlah tugas yang mudah kerana menguruskan jemaah memerlukan perancangan rapi sebelum berlepas, menjaga kebajikan di Tanah Suci hingga proses kepulangan ke tanah air.

“Namun kerajaan berusaha memastikan segala keperluan jemaah dipenuhi dengan sempurna,” katanya selepas majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah di KLIA.

Beliau turut mengingatkan jemaah agar menjaga akhlak dan imej Malaysia sepanjang berada di Tanah Suci.

“Saya menyeru semua jemaah Malaysia agar memanfaatkan peluang sebagai tetamu Allah dengan memperbanyakkan amal ibadat, menjaga niat serta mematuhi segala undang-undang dan arahan pihak Tabung Haji untuk mencapai haji yang mabrur,” katanya.

Malaysia menerima penghargaan atas kerjasama strategik dengan Kerajaan Arab Saudi menerusi inisiatif ‘Makkah Route’ yang membantu mempercepatkan proses imigresen jemaah sebelum tiba di Tanah Suci.

Selain itu, negara mencipta sejarah sebagai yang pertama mengagihkan Kad Nusuk kepada jemaah haji di tanah air, hasil kerjasama dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Tabung Haji serta syarikat AlMasMasyair.

Musim haji kali ini akan melibatkan 31,600 jemaah dengan 100 penerbangan khas yang disediakan oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.

Penerbangan dijadual berlangsung sehingga 1 Jun 2025.

Selain Alor Setar dan Sepang, enam lagi stesen berlepas ialah Kota Bharu, Kuala Terengganu, Bayan Lepas, Senai, Kuching dan Kota Kinabalu.

Anda Mungkin Berminat