Kumpulan WhatsApp ‘Militan’ Bangladesh Jadi Medium Rekrut, Kutip Dana untuk IS – KPN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan kewujudan kumpulan sembang WhatsApp yang dipercayai digunakan untuk menyebarkan ideologi ekstremis dan merekrut ahli bagi militan radikal asing.

Kumpulan tersebut dianggotai kira-kira 100 hingga 150 warga Bangladesh berdasarkan siasatan susulan penahanan 36 individu dari negara berkenaan yang disyaki aktif dalam kegiatan militan serta berpangkalan di Malaysia.

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, kesemua 36 suspek itu turut terlibat dalam kumpulan WhatsApp sama yang didapati digunakan untuk mengumpul dana bagi menyokong kegiatan ekstremis Islamic State (IS) di Syria dan Bangladesh.

“Memang terdapat sejumlah wang dihantar ke negara asal untuk tujuan yang saya katakan tadi.

“Kita masih lagi dalam siasatan, kita tidak boleh mendedahkan jumlah dana yang dikumpul kerana peringkat ini berada di mahkamah.

“Nama-nama individu, latar belakang keluarga dan sebagainya tidak boleh didedahkan, kita masih lagi memerlukan masa untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut,” katanya memetik laporan media tempatan.

Anda Mungkin Berminat