PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Abiy Ahmed Ali telah mengenal pasti beberapa lapangan atau bidang untuk merapatkan kerjasama antara Malaysia dan Ethiopia.
Ini termasuk soal perdagangan, pelaburan, perlombongan, pembuatan automotif, pelancongan, kesaling hubungan udara dan pertanian.
Kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan memperkukuh hubungan ekonomi dengan menggalak serta mencambah perhubungan di sektor swasta dan pelaburan.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya dan seterusnya mengadakan sesi mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin dan delegasi.
Semasa sesi sidang media bersama, Anwar menelusuri sejarah kenegaraan Ethiopia yang pernah dikenali sebagai ‘Habsyah’, yang telah menyaksikan penghijrahan pertama kaum Muslimin dari Mekah serta diberi perlindungan oleh Raja Najasyi yang merupakan seorang Kristian.
“Dalam usaha membina tamadun yang kuat dan bermaruah, cebisan sejarah ini menjadi panduan kepada Malaysia dalam menjamin kesaksamaan, pemerintahan yang adil kepada semua, serta menjelmakan kesejahteraan yang menyeluruh,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa pertemuan itu bukan sekadar pertemuan biasa, tetapi adalah pertemuan dalam suasana kekeluargaan dan persahabatan yang erat.

“Ini adalah sebahagian dari usaha dan upaya kita mencari ruang dan kesempatan demi manfaat rakyat kedua-dua negara Malaysia dan Ethiopia,” tambahnya.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Dr Abiy atas dukungan Ethiopia kepada Malaysia di peringkat BRICS serta undangan beliau untuk berkunjung ke negara itu.
Untuk rekod, Ethiopia merupakan rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika.
Pada tahun 2023, nilai dagangan dua hala Malaysia dan Ethiopia direkodkan pada RM446.8 juta dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, iaitu peningkatan 24.6 peratus ketimbang tahun sebelumnya.