PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Luar Qatar, Khalid Mohammad Al Attiyah di Bangunan Parlimen.
Dalam hantaran di laman rasmi Facebook beliau, Anwar menyifatkan pertemuan itu sebagai cerminan komitmen berterusan untuk memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Qatar.
“Menerima kunjungan hormat bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Luar Qatar, Khalid bin Mohammad Al Attiyah.
“Kami bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa dan potensi kerjasama strategik serta kerjasama pelaburan yang dapat diperkukuh demi manfaat bersama kedua-dua negara,” katanya.
Untuk info, Malaysia dan Qatar telah menjalin hubungan diplomatik sejak tahun 1974 dan ikatan itu kekal mesra sehingga kini.
Kedua-dua negara aktif bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, perdagangan, pelaburan, kesihatan, hal ehwal antarabangsa serta kebajikan pelarian.
Untuk rekod, perdagangan dua hala Malaysia-Qatar mencatatkan peningkatan ketara pada tahun 2023 dengan pertumbuhan 48.9 peratus.
Nilai perdagangan melonjak kepada RM6.3 bilion (AS$1.4 bilion), berbanding RM4.2 bilion (AS$911.9 juta) pada tahun sebelumnya.








