ADDIS ABABA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadiri Majlis Santapan Negara yang dihoskan Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed Ali, di Istana Negara malam Khamis, sekali gus menandakan kesinambungan hubungan erat antara kedua-dua negara.
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan hubungan Malaysia – Ethiopia bukan sekadar diplomasi lazim, sebaliknya merangkumi kerjasama perdagangan, pelaburan, teknologi, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor serta isu kemanusiaan seperti konflik Gaza dan perang di Sudan.
“Saya mengingatkan bahawa sejarah panjang hubungan kedua-dua negara harus menjadi asas kepada persefahaman dan bukan perpecahan,” katanya sambil merujuk kepada kisah Raja Najashi yang melindungi umat Islam pada era awal hijrah.
Beliau berkata nilai kemanusiaan, keadilan dan kasih sayang perlu menjadi teras kepada sebarang bentuk kerjasama, seiring aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan seimbang antara kemajuan material dan nilai.
Dalam majlis sama, Anwar turut menghargai usaha Abiy yang memperkukuh konsep Medemer di Ethiopia, satu pendekatan yang menyeru penyatuan kekuatan pelbagai pihak dalam mendukung reformasi negara tersebut.
Anwar menyampaikan penghargaan kepada Abiy kerana kesudiannya hadir ke Kuala Lumpur tahun lalu, meskipun jarak jauh dari Tanduk Afrika, sebagai tanda komitmen mempererat hubungan dua hala.
“Abiy bukan saja membuatkan saya bekerja lebih di Addis Ababa, malah membuat saya berjalan dari satu muzium ke muzium yang lain!“, seloroh Anwar.
Kunjungan rasmi kali ini disifatkan Anwar sebagai bermakna dan produktif, sekali gus memperkukuh agenda kerjasama Malaysia–Ethiopia dalam semangat persahabatan dan nilai kemanusiaan sejagat.
Hubungan Malaysia–Ethiopia terjalin sejak 1960-an dengan kerjasama meliputi perdagangan, pendidikan, teknologi dan pertanian. Kedua-dua negara kini memberi tumpuan kepada pengembangan kerja sama strategik, termasuk teknologi digital, pembangunan kapasiti dan diplomasi kemanusiaan.
Baca juga:








