SEOUL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Korea Selatan malam tadi sempena lawatan rasmi tiga hari hingga Selasa bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan negara itu.
Beliau berkata lawatan itu bagi memenuhi undangan Presiden Yoon Suk Yeol.
“Kunjungan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memantapkan hubungan dua hala bersempena ulangtahun ke-65 pada tahun 2025 sejak terpatrinya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun 1960.
“Mohon doa teman-teman agar kunjungan ini beroleh manfaat kepada rakyat Malaysia dan Republik Korea,” kongsinya di Facebook.
Perdana Menteri disambut Jurucakap kerajaan dan Timbalan Menteri Luar Negeri Korea, Lee Jae Woong dan Duta Korea ke Malaysia, Yeo Seung Bae.
Turut hadir termasuk Duta Besar Malaysia ke Republik Korea, Datuk Mohd Zamruni Khalid.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Baca juga: