Lelaki autisme yang dilaporkan hilang akhirnya ditemui selamat di Kampung Benoni, Papar, Sabah pada Sabtu.
Dianggar Muhd Nuh Ibrahim Mohd Eddie Bahrin, 24, ditemukan sekitar 9 malam oleh seorang pemandu teksi sejauh kira-kira 35 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang di Kampung Sumbiling Mogon.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Rozlan Osman berkata, susulan penemuan mangsa itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan di sekitar kampung segera ditamatkan.
“Operasi SAR telah dilakukan di kawasan kampung sebaik pasukan bomba menerima laporan daripada pengadu mengenai kehilangan anaknya.
“Bagaimanapun, pada jam 9.17 malam, abang mangsa datang ke balai bomba dan memaklumkan bahawa mangsa telah ditemui di sekitar Pusat Komersial Benoni (BCC) dalam keadaan selamat oleh seorang pemandu teksi,” katanya lapor Sinar Harian.
Media pada Sabtu melaporkan seorang pemuda autisme disedari hilang pada jam 7 pagi Sabtu oleh ahli keluarganya.
Bagaimanapun, pasukan bomba hanya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada jam 5.51 petang dan SAR segera dilakukan untuk mencari mangsa.