Oleh Nadhirah Akmam
USAHAWAN dan personaliti media sosial, Khairul Aming atau lebih dikenali sebagai KA, menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengurangkan budaya membawang di media sosial dan sebaliknya memanfaatkan masa untuk menambah ilmu.
Beliau yang juga penerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya 2025 berkata, ramai memberi komen dan pendapat tentang perkara yang mereka tidak fahami, termasuk urusan perniagaan dan masalah rumah tangga orang lain.
“Kita rasa semua benda kita kena bagi pendapat, walaupun kita tak tahu langsung benda tu,” ujarnya menerusi hantaran video yang dimuat naik di Tiktok, Walaming Fans Khairulaming.
Beliau mengingatkan kebiasaan itu menyumbang kepada kepenatan mental dan mengurangkan produktiviti. Menurut KA, pengguna sering bermula hari mereka dengan melihat media sosial lalu dipenuhi masalah orang lain dalam masa terpendek.
“Bila otak korang penat, korang jadi malas nak cari ilmu baru,” katanya.

KA menegaskan lebih bermanfaat jika masa yang ada digunakan untuk menelaah dan belajar perkara baharu. Langkah itu, katanya, dapat meningkatkan daya saing diri dan masyarakat.
“Lebih baik kita gunakan masa tu untuk menelaah ilmu dan belajar supaya kita lagi banyak tahu benda yang patut ditahu,” tambahnya.
Walaupun tegas mengkritik budaya membawang, KA mengakui dirinya juga kadangkala terlibat dalam gosip. Namun beliau menegaskan pentingnya meletakkan had dan tidak terlalu terlibat.
“Aku pun ‘membawang’ juga, cuma hadkan,” katanya jujur.
Kesan negatif budaya membawang, menurut beliau, meliputi keletihan emosi, kurang tumpuan kerja dan generasi yang kurang berminat menimba ilmu. KA menyeru ibu bapa, pendidik dan komuniti untuk membentuk tabiat digital yang lebih sihat.
Sebagai figura popular dalam dunia perniagaan serta media sosial, Khairul Aming mengajak semua pihak bertindak matang di ruang maya.
“Jangan biasakan diri korang dengan benda negatif, nanti korang penat,” pesan beliau.
Khairul Aming dikenali sebagai usahawan makanan dan ‘content creator’ popular yang sering berkongsi tips perniagaan serta petikan motivasi di platform digital.
Baca juga:








