KUSKOP bantu usahawan francais lebar sayap ke London, raih pelaburan lebih RM34 juta

Oleh: Kamilia Ali

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang diketuai oleh Ketua Setiausaha KUSKOP telah mengadakan Misi Perniagaan Khas Francais ke London pada 13 hingga 17 Ogos lalu.

KUSKOP menerusi satu kenyataan hari ini berkata, francais tempatan kini boleh menembusi pasaran global seperti di London yang meraih pelaburan melebihi RM34 juta.

“Lawatan kerja ini adalah langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan perniagaan antara Malaysia dan United Kingdom (UK) khususnya dalam meluaskan jaringan perniagaan francais Malaysia ke pasaran Eropah.

“Kami berharap dengan adanya kerjasama strategik ini, usahawan francais Malaysia akan dapat memanfaatkan peluang-peluang yang tersedia untuk berkembang lebih jauh di peringkat global,” menurut kenyataan itu.

Secara tidak langsung, lawatan berkenaan juga bertujuan membuka ruang perbincangan yang lebih mendalam antara usahawan Malaysia dan UK.

Difahamkan, misi itu disertai oleh lapan usahawan francais Malaysia iaitu syarikat Universal Concept of Mental Arithmetic System (UCMAS), Little Caliph, Marrybrown, Global Art, CIC Where Leaders Are Born, Q-Dees, Beard Brothers dan EL&N.

Dalam pada itu, KUSKOP komited untuk terus membantu usahawan Malaysia terutama dalam menyediakan kemudahan dan sokongan yang diperlukan bagi menembusi pasaran antarabangsa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat