KUSKOP: Geran RM4.75 juta diserah kepada vendor tempatan

KUALA LUMPUR: Lapan syarikat vendor tempatan menerima Geran Inovasi dan Pengkomersialan Vendor (GIPV) 2025 bernilai RM4.75 juta, sebagai usaha kerajaan memperkukuh daya saing produk dan perkhidmatan tempatan di peringkat global.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, geran berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi simbol keyakinan kerajaan terhadap kemampuan vendor tempatan untuk terus melangkah lebih jauh.

“Geran ini menjadi pemangkin kepada lahirnya budaya inovasi, memperkukuh hasil penyelidikan, dan mendorong pengkomersialan produk serta perkhidmatan tempatan agar mampu bersaing di pentas global,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Khamis.

Beliau bersama Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick, menyempurnakan penyerahan geran itu dengan harapan vendor tempatan bukan sahaja bertahan, tetapi bangkit sebagai peneraju industri, mencipta solusi baharu, menguasai pasaran antarabangsa dan menjadi nadi penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Inilah semangat sebenar Malaysia MADANI untuk melahirkan usahawan yang berdaya tahan, berinovasi tinggi dan diyakini mampu mengharumkan nama negara di peringkat dunia,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat