PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyatakan sokongan penuh terhadap langkah tegas kerajaan membanteras penyalahgunaan visa lawatan sosial bagi tujuan bekerja dan berniaga secara tidak sah.
Tindakan itu dilihat penting bagi melindungi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta peniaga kecil tempatan daripada persaingan tidak adil.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, isu berkenaan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan aduan daripada peniaga tempatan yang terjejas.
“Kerajaan telah mengarahkan agensi berkaitan mempergiatkan penguatkuasaan termasuk memperkukuh pemantauan terhadap aktiviti bekerja dan berniaga tanpa kebenaran sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, KUSKOP akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri serta agensi penguatkuasaan bagi memastikan tindakan susulan dilaksanakan segera.
“Langkah ini penting untuk melindungi PMKS dan peniaga kecil tempatan, selain memastikan ekosistem keusahawanan negara kekal teratur dan berdaya saing,” katanya.
Steven Sim turut menekankan bahawa Malaysia sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelancong dan pelabur asing, namun semua pihak wajib mematuhi undang-undang dan peraturan negara tanpa pengecualian.
Beliau berkata, penguatkuasaan yang konsisten bukan sahaja mampu mengekang aktiviti tidak sah, malah akan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih adil dan mampan untuk usahawan tempatan.








