PAPAR: Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2026, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama lima agensi strategik tampil menyumbang sebanyak 23 ekor lembu korban untuk diagihkan kepada masyarakat di Papar, Sabah.
Agensi yang terlibat ialah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), TEKUN Nasional, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan ANGKASA.
Sumbangan itu akan disalurkan kepada 23 masjid dan surau terpilih di sekitar kawasan Bongawan dan Membakut bagi pelaksanaan ibadah korban, sekali gus membantu golongan memerlukan.
Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Mohamad Alamin berkata, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan berterusan kementerian dalam menyantuni masyarakat khususnya komuniti luar bandar yang berdepan cabaran kos sara hidup.
“Ibadah korban bukan sekadar simbolik pengorbanan keagamaan, malah menjadi platform untuk mengeratkan ukhuwah, memupuk budaya berkongsi rezeki.
“Ia juga dapat memperkukuh integrasi antara agensi kerajaan, kepimpinan tempatan dan komuniti akar umbi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, langkah itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kebajikan rakyat agar tiada golongan yang tercicir.
KUSKOP, katanya, akan terus mempromosikan pendekatan berimpak sosial dan semangat kebersamaan melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan dan masyarakat.
“Sinergi yang terjalin ini mampu memperkukuh kesejahteraan rakyat serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh,” ujar beliau.








