Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berjaya melunaskan ikat jamin sebanyak RM150,000 hasil kutipan segera daripada sahabat handai serta pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Mohd Yusmadi Yusoff, yang memaklumkan bahawa dana berkenaan dikumpulkan sejurus selepas prosiding mahkamah berkaitan empat pertuduhan rasuah yang dihadapkan ke atas Shamsul berakhir pada Khamis.
Menurut Yusmadi, jumlah jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur adalah jauh daripada kemampuan kewangan Shamsul yang juga Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya.
“Alhamdulillah kita dapat sediakan wang jamin melalui bantuan daripada kalangan pimpinan parti dan kawan-kawan.
“Shamsul sememangnya tidak mampu menyediakan jumlah jaminan setinggi itu.
“Namun sumbangan yang dikumpulkan secara pantas selepas prosiding pagi tadi termasuk bantuan pimpinan PKR dan sahabat-sahabatnya, membolehkan perkara ini diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan terhadap Shamsul termasuk melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan, tidak mengganggu saksi serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Terdahulu, Shamsul mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 yang didakwa berlaku dua tahun lalu.
Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, melibatkan dakwaan penerimaan wang dan barangan sebagai suapan ketika beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri.








