Kutipan Kompaun Trafik Selangor Cecah RM19.51 Juta

SHAH ALAM: Polis Selangor merekodkan kutipan kompaun saman trafik berjumlah RM19.51 juta sepanjang pelaksanaan Program Diskaun Saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) 70 peratus Kontinjen Selangor yang berlangsung dari 1 November hingga 30 Disember 2025.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sebanyak 258,345 keping saman berjaya diselesaikan dalam tempoh dua bulan pelaksanaan program tersebut menerusi semua kaunter Trafik COPS di seluruh negeri.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 125,759 saman melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 257 Kanun Jalan Raya dengan nilai kutipan RM11.49 juta, manakala 132,586 saman di bawah Seksyen 170A merekodkan kutipan berjumlah RM8.01 juta.

“Prestasi kutipan tertinggi mengikut daerah dicatatkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dengan jumlah RM2.7 juta, diikuti IPD Petaling Jaya sebanyak RM2.1 juta dan IPD Kajang berjumlah RM1.7 juta,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Shazeli turut memaklumkan bahawa pihaknya melihat peningkatan ketara dalam penggunaan kaedah pembayaran digital oleh orang ramai sepanjang program berkenaan dilaksanakan.

“Pembayaran secara e-pembayaran merekodkan kutipan RM9.45 juta, manakala pembayaran secara tunai mencatatkan RM10.05 juta. Ini menunjukkan trend positif penerimaan teknologi digital dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan tersebut selari dengan agenda transformasi digital negara yang menekankan urusan lebih pantas, cekap dan mesra pengguna.

Dalam pada itu, Shazeli berkata, pelaksanaan program diskaun kompaun berkenaan bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan rakyat, malah berperanan meningkatkan kesedaran dan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang trafik.

“Inisiatif ini diharap dapat menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya di Selangor,” katanya.

Baca. juga:

Anda Mungkin Berminat