KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM18.31 bilion bagi suku pertama 2025, menurun 13 peratus berbanding RM20.99 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah berkenaan, RM1.02 bilion adalah keuntungan belum direalisasi hasil penilaian semula sekuriti (‘mark-to-market’) yang terjejas akibat turun naik kadar pertukaran asing.
Namun, selaras dengan dasar KWSP, keuntungan itu tidak diagihkan sebagai dividen.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, ketidaktentuan pasaran global pada awal tahun ini berpunca daripada peningkatan ketegangan perdagangan serta dasar ekonomi yang tidak menentu.
“Walaupun tekanan inflasi berkurang di beberapa ekonomi, kadar dan masa pelonggaran dasar monetari berbeza mengikut rantau, sekali gus menjejaskan tahap penerimaan risiko.
“Portfolio global KWSP yang pelbagai membantu mengurangkan kesan ini dan memastikan ia terus berada pada landasan untuk mencipta nilai jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi tempoh dikaji, pelaburan ekuiti menyumbang RM10.81 bilion mengalami penurunan 23 peratus berbanding RM14.02 bilion pada suku pertama 2024 berikutan prestasi lemah pasaran ekuiti global.
Instrumen pendapatan tetap kekal sebagai komponen utama pemeliharaan modal, menyumbang RM5.99 bilion atau 33 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan.
Kelas aset ini meliputi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf yang menawarkan pulangan stabil serta membantu mengimbangi turun naik pasaran.
Selain itu, pelaburan dalam hartanah dan infrastruktur menjana RM1.08 bilion manakala instrumen pasaran wang menyumbang RM430 juta sejajar dengan jangkaan pulangan masing-masing.
Daripada jumlah keseluruhan, RM15.87 bilion diperoleh bagi Simpanan Konvensional dan RM2.44 bilion bagi Simpanan Shariah.
Sehingga Mac 2025, jumlah aset pelaburan KWSP mencecah RM1.26 trilion dengan 38 peratus dilaburkan di luar negara.
Pelaburan luar negara menjana pendapatan RM8 bilion mewakili 44 peratus daripada jumlah keseluruhan.
KWSP mengekalkan komitmennya dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara dengan terus melabur lebih 70 peratus daripada peruntukan tahunannya di pasaran domestik, sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI.
Mengulas prospek pelaburan, Ahmad Zulqarnain berkata, semakan penurunan unjuran pertumbuhan global dan serantau termasuk Malaysia mencerminkan risiko luaran yang semakin meningkat serta perubahan dinamik perdagangan.
“Dalam persekitaran pasaran yang lebih mencabar, KWSP mengekalkan portfolio pelaburan yang dinamik dan pelbagai bagi melindungi nilai serta mengurus risiko.
“Kami juga giat meneroka peluang pelaburan di pasaran serantau dan antarabangsa bagi mengukuhkan portfolio dan menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang untuk ahli,” katanya.