PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, meningkat 11 peratus berbanding RM57.57 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Menurut laporan media tempatan, bagi suku ketiga sahaja, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan RM25.07 bilion, melonjak 27 peratus daripada RM19.67 bilion pada suku ketiga 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, prestasi kukuh itu didorong strategi alokasi aset yang berkesan serta pemulihan pasaran ekuiti pasca peristiwa “Liberation Day”.
“KWSP kekal yakin terhadap kekuatan ekonomi Malaysia yang mewakili 61 peratus daripada portfolio pelaburan kami,” katanya.
Beliau berkata, pelaburan global turut menyumbang ketara, iaitu 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ketiga.
Namun KWSP kekal berhati-hati memasuki suku keempat susulan penilaian pasaran ekuiti global yang tinggi dan petunjuk ekonomi antarabangsa yang tidak konsisten.
Sepanjang suku ketiga, ekuiti menjadi penyumbang terbesar dengan RM16.95 bilion atau 68 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan. Instrumen pendapatan tetap pula menyumbang RM6.75 bilion iaitu sebanyak 27 peratus.
Pelaburan hartanah dan infrastruktur menjana RM1.14 bilion, manakala instrumen pasaran wang merekodkan RM230 juta.
Keseluruhan pendapatan pelaburan suku ini, sebanyak RM20.48 bilion disumbangkan kepada Simpanan Konvensional dan RM4.59 bilion kepada Simpanan Shariah.
Setakat 30 September 2025, jumlah aset pelaburan KWSP meningkat 12 peratus kepada RM1.37 trilion, dengan pelaburan antarabangsa merangkumi 39 peratus aset serta menyumbang RM13.33 bilion atau 53 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tersebut.








