Oleh:Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menaikkan had Pengeluaran Haji daripada RM3,000 kepada RM10,000, berkuat kuasa 1 Januari 2026, bagi membantu ahli menampung kos menunaikan ibadah haji selaras keperluan kewangan semasa.
Menurut KWSP, peningkatan had pengeluaran berkenaan mengambil kira kenaikan kos ibadah haji, selain memberi ruang perancangan kewangan yang lebih fleksibel kepada penerima tawaran daripada Lembaga Tabung Haji.
“Peningkatan had pengeluaran Haji ini bertujuan membantu ahli memenuhi kos menunaikan ibadah haji selaras dengan realiti kos semasa,” menurut kenyataan di laman sesawang KWSP pada Rabu.
Selain itu, keperluan pengesahan baki simpanan Tabung Haji bagi menentukan kelayakan pengeluaran turut dimansuhkan, sekali gus memudahkan proses permohonan dan mengurangkan beban pentadbiran ahli.
“Pemansuhan syarat pengesahan baki Tabung Haji membolehkan ahli merancang ibadah haji dengan lebih mudah dan teratur,” katanya.

Dalam masa sama, KWSP turut memperkenalkan i-Saraan Plus, iaitu kemudahan caruman sukarela khusus untuk pemandu e-hailing dan p-hailing bagi memperkukuh simpanan persaraan golongan bekerja sendiri.
“Melalui inisiatif ini, pemandu layak menerima insentif padanan kerajaan sehingga RM600 setahun, tertakluk kepada had seumur hidup RM6,000, dengan pendaftaran dilakukan menerusi penyedia platform terlibat.
“i-Saraan Plus diwujudkan bagi meluaskan liputan perlindungan persaraan kepada kumpulan pekerja bukan formal yang semakin berkembang,” kata kenyataan itu lagi.
Selain itu, umur kelayakan i-Suri dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun, sejajar umur persaraan minimum negara, dengan insentif padanan kerajaan diteruskan pada kadar 50 peratus sehingga RM300 setahun.
KWSP juga memaklumkan pelaksanaan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) bermula 2026 yang menetapkan tiga tahap simpanan sebagai panduan perancangan persaraan ahli.
Selaras dengan rangka kerja itu, dasar Pengeluaran Melebihi RM1 juta akan diselaras secara berperingkat bagi memberi fleksibiliti kepada ahli di bawah 55 tahun tanpa menjejaskan keperluan asas persaraan.
“Langkah ini memastikan akses fleksibel kepada simpanan dibuat secara seimbang dengan perlindungan jangka panjang simpanan persaraan ahli,” katanya.
Baca juga:








